Belia tolak jadi nelayan? - Utusan Malaysia

Belia tolak jadi nelayan?

NAZARI YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Terpaksa berada di tengah lautan dalam tempoh lama antara dua hingga tiga minggu menjadi antara faktor golongan belia menolak kerjaya sebagai seorang nelayan.

Pengusaha bot laut dalam, Nazari Yusof berkata, dia berdepan kekurangan tenaga pekerja selepas nelayan dan awak-awak asing gagal kembali ke negara ini akibat pandemik Covid-19.

“Saya tawarkan peluang kepada penduduk tempatan, khususnya golongan belia untuk bekerja sebagai nelayan laut dalam dengan gaji permulaan RM1,500.

“Namun tidak ada yang berminat. Mereka memberitahu tidak sanggup berada di tengah laut untuk tempoh lama sehingga tiga minggu,” katanya.

Sementara itu, bekas nelayan, Roslan Jali, 53, berkata, dia meninggalkan pekerjaan itu kerana pendapatan diraih tidak setimpal dengan kudrat yang terpaksa dikerah di samping risiko lain perlu ditempuh ketika berada di lautan.

“Akhir 1990-an, upah diterima saya hanya RM15 untuk tiga hari yang dipanggil sebagai ‘bayaran petik’ sebelum menerima agihan bulanan tidak lebih RM300 yang dipanggil sebagai ‘pendapatan panggong’ iaitu sumber wang hasil jualan ikan yang berjaya ditangkap.

“Menjelang 2000, nelayan laut dalam menerima upah RM800 untuk tempoh dua minggu bekerja di laut. Ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga, lebih-lebih lagi berlaku kenaikan harga barangan ketika itu,” katanya.

Menurut Roslan, selepas lima tahun, dia mengambil keputusan berhenti menjadi nelayan dan memilih untuk bekerja sebagai operator kilang papan sebelum berjaya mengumpul wang untuk mendirikan rumah tangga.

Rakannya, Ramli Mat Nor, 50, pula berkata, ketika bekerja sebagai nelayan kira-kira 30 tahun lalu, dia hanya menerima upah sebanyak RM5 untuk tempoh tiga hari bekerja biarpun memiliki sijil akademik.

“Kelulusan akademik bukan taruhan untuk mendapat gaji besar dalam industri perikanan. Selain itu, nelayan zaman itu juga tidak dilindungi insurans atau sebarang pembelaan lain dan berdepan risiko nyawa setiap hari.

“Saya tidak bertahan lama dan mengambil keputusan bekerja sebagai jurujual syarikat perniagaan beras,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya