Beli sut merah ala-ala ‘Money Heist’ lakukan gimik rompakan - Utusan Malaysia

Beli sut merah ala-ala ‘Money Heist’ lakukan gimik rompakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Tiga lelaki berusia 23 hingga 25 tahun menerima padah apabila tindakan mereka berpakaian sut merah ala-ala sebuah drama rompakan bersiri Sepanyol, ‘Money Heist’ untuk melakukan gimik jenayah itu di hadapan sebuah bank, akhirnya tewas dicekup polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam kelmarin di hadapan sebuah bank di Jalan Taib itu, mereka turut menaiki sebuah kereta mewah jenis Mercedes-Benz A Class berwarna hitam dan meletakkan kenderaan itu sehingga menghalang lalu lintas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Supritenden Azri Noraini berkata, dua daripada suspek itu turut memakai topeng muka seperti watak dalam drama itu dengan memegang senjata menyerupai selaras senapang automatik dan pistol sambil membawa beg berwarna hitam.

Menurut beliau, seorang lagi suspek pula memegang kamera dan merakamkan aksi dua rakannya itu dipercayai untuk memuat naik ke dalam laman-laman sosial untuk berkongsi ‘gimik’ rompakan mereka.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan, mereka menggunakan senjata api untuk melakukan gimik rompakan bank dengan berpakaian seperti itu dan gambar-gambar tersebut akan dimuat naik di dalam Facebook untuk suka-suka.

“Mereka juga dipercayai membeli senjata api dan pakaian tersebut melalui aplikasi Shopee dan memaklumkan tidak tahu tindakan mereka itu menyalahi undang-undang walaupun hanya untuk tujuan suka-suka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, perbuatan ketiga-tiga pemuda itu disedari Team Taskforce Covid-19 yang sedang melakukan rondaan di Zon A, sebelum ternampak kenderaan itu yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan.

Azri berkata, pihaknya merampas sebuah kamera berwarna hitam jenama Fujifilm X-S10, sepucuk senjata api yang menyerupai pistol dan sebuah beg besar berwarna hitam bertulis ‘jal’, dua topeng muka, dua helai sut berwarna merah dan selaras senjata lagi yang menyerupai senapang automatik.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Polis Pontian memandang serius berkenaan pemilikan dan penggunaan senjata api tiruan serta penggunaan senjata api tanpa lesen yang sah, operasi akan terus dipergiat  bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berkaitan senjati api di daerah ini,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya