TELUK INTAN: Seorang bekas pembantu tadbir kewangan di Pejabat Kesihatan Batang Padang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM11,535, empat tahun lalu.
Tertuduh, Nuhairi Idris, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang hasil kutipan harian Klinik Kesihatan Sungkai berjumlah RM11,535.
Dia didakwa melakukan kesemua 13 kesalahan itu di Unit Hasil Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang di Tapah antara 25 Januari hingga 20 Jun 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Amir Khusyairi Mohd. Tanusi.
Terdahulu, Nur Azimah menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan namun Amir Khusyairi memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sudah tidak bekerja selain menanggung keluarga.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 2 April ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE