Bekas komandan UPNM didakwa terima wang RM400,000 hasil aktiviti haram - Utusan Malaysia

Bekas komandan UPNM didakwa terima wang RM400,000 hasil aktiviti haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Komandan Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM400,000, lima tahun lalu.

Tuduhan pertama, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 64, didakwa menerima cek Maybank Islamic Berhad berjumlah RM200,000 milik Too Pro Market, hasil aktiviti haram ke dalam akaun Maybank miliknya.

Tuduhan kedua, bekas pegawai kanan tentera itu didakwa menerima cek Maybank Islamic Berhad berjumlah RM200,000 milik SFX Management yang merupakan hasil aktiviti haram yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing pada 11 Oktober dan 13 Oktober 2016 di Maybank Cawangan Kompleks Dayabumi, Lot F1/26 dan F1/27, Kompleks Dayabumi City Point di sini.

Berikutan kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut  Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Nor Asyikin Zakaria.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh dijamin RM80,000 dengan mengguna pakai jaminan sedia ada sebelum ini.  

Mahkamah menetapkan kes itu disebut pada 26 Februari ini untuk perbicaraan serentak bersama-sama satu kes lain. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya