Bekas imam ditahan miliki dadah - Utusan Malaysia

Bekas imam ditahan miliki dadah

SHARIMAN Ashari (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam Ops Tapis di Langkawi semalam. UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Tiga lelaki termasuk seorang bekas imam merupakan antara yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan dalam Ops Tapis di sini,  semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, bekas imam yang berusia 36 tahun itu yang kini bekerja sebagai jurubekam ditahan di sebuah hotel di Jalan Pantai Chenang di sini pada 12.30 tengah malam, semalam.

“Pemeriksaan dalam bilik hotel yang dihuni lelaki itu menemui satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu dengan berat anggaran 1.1 gram (g) dan satu peket lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan berat 3.5g.

“Selain itu, polis juga menemui satu botol kaca berisi dadah jenis syabu seberat 10.2g,” kata Shariman dalam sidang akhbar  di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Langkawi di sini, petang ini.

Shariman berkata, bekas imam  yang berasal dari Pulau Pinang itu juga didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan satu rekod di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Lelaki itu direman selama lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, dua lagi tangkapan melibatkan seorang nelayan berusia 45 tahun dan  mekanik berusia 37 tahun di  Kampung Baru Felcra Kok serta di  Kampung Belibis, Teluk Ewa di sini.

Katanya, mereka ditahan dalam operasi itu pada pukul 4 petang dan 5.30 petang semalam.

“Polis merampas dadah jenis heroin dengan berat anggaran 41g dan satu paket plastik lutsinar berisi syabu dengan berat anggaran 4.7g daripada nelayan terlibat.

“Manakala mekanik itu pula didapati memiliki 13 paket plastik lutsinar yang berisi heroin dengan berat anggaran 117.5g dan tiga peket plastik lutsinar berisi syabu dengan berat 3.4g,” katanya.

Beliau memberitahu, kedua-dua lelaki itu direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya