Bekalan air di Empangan Teluk Bahang tidak terjejas disebabkan aktiviti kuari  - Utusan Malaysia

Bekalan air di Empangan Teluk Bahang tidak terjejas disebabkan aktiviti kuari 

OPERASI kuari tidak menjejaskan kualiti dan kuantiti air mentah di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menafikan operasi sebuah kuari di Teluk Bahang di sini telah menjejaskan kualiti dan kuantiti air mentah di Empangan Teluk Bahang. 

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, kualiti air terawat yang dibekalkan dari Empangan Teluk Bahang adalah lebih baik daripada piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Program Jaminan Kualiti (QAP).  

“Kuari itu terletak di luar kawasan tadahan air Empangan Teluk Bahang, kewujudan dan operasi yang didakwa tidak memberi kesan, mengancam atau menjejaskan kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang serta kualiti air mentah dalam apa juga cara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beberapa akhbar harian tempatan sebelum ini memetik MCA Pulau Pinang yang mendakwa terdapat aktiviti kuari haram di Teluk Bahang yang sangat dekat dengan Empangan Teluk Bahang sehingga menjejaskan bekalan air ke empangan berkenaan.

Menurut Jaseni, kuari yang didakwa itu terletak kira-kira 50 meter di bahagian bawah kawasan bukit sempadan tadahan air Teluk Bahang. 

”Hukum fizik menetapkan air hujan atau air dari kuari tidak boleh mengalir secara mendaki bukit ke Empangan Teluk Bahang,” katanya. 

Tambah Jaiseni, paras kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang rendah yang dilaporkan pada 2020 juga tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti kuari.  

“Sebab utama fenomena luar biasa ini adalah hujan yang berkurangan dalam tempoh 12 bulan dari 1 Ogos 2019 hingga 31 Julai 2020. 

“Dalam tempoh ini, jumlah hujan yang dicatatkan di kawasan tadahan air Empangan Teluk Bahang adalah 4,466 milimeter (mm) atau 30.3 peratus lebih rendah daripada purata hujan 6,411 mm untuk tempoh tiga tahun yang sama bagi tahun 2017, 2018 dan 2019,” katanya.  

Dalam pada itu, tambah beliau, PBAPP  memohon MCA Pulau Pinang berhenti membuat tuduhan dan sindiran tidak berasas mengenai bekalan air di negeri ini. 

“Ini kerana kegiatan kuari tidak mempengaruhi operasi kejuruteraan bekalan air, kuantiti dan kualiti bekalan air dari Empangan Teluk Bahang,” katanya.  -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN