PONTIAN: Bau busuk dari sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas yang tinggal bersendirian di sebuah rumah teres di Taman Megah di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada pukul 8.55 malam daripada seorang jiran mengenai penemuan mayat lelaki berusia 72 tahun.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, jiran mangsa memaklumkan penemuan mayat lelaki yang tinggal bersendirian di rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan mayat dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Mustafa, mangsa mempunyai rekod penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi yang diperakui oleh adiknya.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) tetapi siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Sementara itu anak saudara mangsa, Teo Chang Yum, 38, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, warga emas tersebut merupakan bapa saudaranya.
Katanya, bapa saudaranya tinggal bersendirian berikutan isteri dan tiga anaknya berada di Singapura dan tidak dapat balik ke Johor disebabkan penutupan pintu sempadan akibat Covid-19.