Bapa tunggal jadi ibu kepada empat anak - Utusan Malaysia

Bapa tunggal jadi ibu kepada empat anak

MOHD. Rizal Amran (belakang, kiri) bersama-sama empat anaknya menerima sumbangan daripada Nurul Farhana Simin (kanan) yang mewakili MBD Pontian di Kampung Rambah. Pemberita/Gambar: MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kebiasaannya kisah ibu tunggal yang terpaksa bertungkus-lumus membesarkan anak-anak secara bersendirian sering menjadi perhatian, namun nasib sama juga menimpa seorang lelaki yang kini bertanggungjawab menjadi ibu kepada empat anaknya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu yang dirasai Mohd. Rizal Amran, 41, selepas berpisah dengan isteri pada 2016 untuk membesarkan tiga anak perempuan dan anak bongsu lelakinya.

Menurut Mohd. Rizal, dia yang kini menjadi ‘ibu’ kepada Nur Aishah,11, Nur Fatimahtun, 10, Nur Diana, 9, dan Mohd. Solihin, 7, terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga dan pada masa sama memberi perhatian kepada anak-anaknya.

Katanya, dia bekerja dengan syarikat membuat mi setiap dua kali seminggu dengan pendapatan hanya RM600 sebulan selain mendiami rumah bersebelahan dengan tempat kerja bagi memudahkan menjaga anak-anaknya.

“Masa tidak berkerja di kilang, saya mengambil upah memotong rumput dengan memperoleh kira-kira RM400 bergantung kepada tempahan yang diterima, tetapi sering kali kurang daripada jumlah itu

“Mujur saya ditawarkan kerja disitu dan diberikan tempat tinggal percuma oleh majikan saya, dapatlah saya jimatkan kos bulanan yang perlu ditanggung,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Rambah, di sini hari ini.

Mohd. Rizal sebelum itu menerima sumbangan pelbagai barangan daripada Majlis Belia Daerah (MBD) Pontian berjumlah RM500 yang disampaikan oleh Bendaharinya, Nurul Farhana Simin.

Lelaki yang berasal dari Selangor itu berkata, dia turut membantu kerja-kerja pendawaian jika diperlukan dengan menerima upah antara RM100 ke RM200 bagi menambah pendapatan.

“Dengan pendapatan yang ada termasuk melakukan kerja-kerja tambahan dapatlah membeli serba sedikit barangan harian anak-anak terutamanya makanan.

Mengenai sebarang bantuan yang diterima, Mohd. Rizal berkata, dia ada mengemukakan permohonan kepada pihak-pihak berkaitan tetapi telah ditolak dengan alasan berstatus ‘bapa tunggal’.

“Sebagai bapa tunggal yang menguruskan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ibu, saya terima dan bersedia melakukan apa jua pekerjaan bagi menampung hidup dan memastikan masa depan anak-anak terjaga,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN