Banyak kecederaan di kepala dan belakang badan - Polis - Utusan Malaysia

Banyak kecederaan di kepala dan belakang badan – Polis

MOHD. Sukri Kaman mengadakan sidang media mengenai kes kematian adik Zubaidi Amir Quasyairi Abd Malek, 7, di luar perkarangan Hospital Melaka.-UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hasil bedah siasat selama hampir 11 jam dijalankan terhadap kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya Jumaat lalu menemui banyak kesan kecederaan di kepala dan belakang badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, bagaimanapun pihak polis masih menunggu laporan penuh siasatan berhubung punca sebenar kecederaan tersebut.

“Hasil bedah siasat telah selesai dijalankan, namun kita masih belum menerima laporan penuh kerana doktor masih menunggu maklumat lanjut daripada bahagian makmal untuk mengesahkan punca kematian.

“Bagaimanapun kita dimaklumkan memang ada kesan kecederaan terutama di bahagian kepala dengan terdapat kesan luka baru sebesar tiga sentimeter.

“Selain itu, terdapat juga kesan luka baru dan lama diseluruh anggota termasuk di belakang badan,” katanya ketika sidang akhbar di pekarangan luar Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka di sini malam tadi.

Jelasnya, maklumat makmal itu merangkumi hasil dapatan dari spesimen yang diambil termasuk daripada bahagian paru-paru, jantung, hati dan bahagian abdomen lain.

Katanya, setakat ini, pihaknya yakin kecederaan itu berpunca daripada objek tumpul.

“Kita masih menyiasat sama ada mangsa memperoleh kecederaan itu disebabkan dia terjatuh atau perlakuan mana-mana individu (didera).

“Kita juga masih belum dapat mengesahkan sama ada kanak-kanak itu mati akibat lemas seperti yang didakwa bapa tirinya ketika membuat laporan, kelmarin,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menafikan dakwaan segelintir netizen yang mengatakan kanak-kanak tersebut telah lama meninggal dunia.

“Berdasarkan keadaan fizikal mangsa ketika ditemui, dia dianggarkan baru sahaja meninggal dunia, kira-kira kurang dua jam.

“Semua dakwaan netizen mengatakan kanak-kanak itu telah lama meninggal dan badannya kembung serta sebagainya adalah tidak benar,” katanya.

Tambahnya lagi, jenazah kanak-kanak yang dipanggil dengan gelaran ‘Adik’ itu akan diserahkan kepada waris untuk proses pengebumian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya