Bantu pengusaha bot laut dalam - Utusan Malaysia

Bantu pengusaha bot laut dalam

S. SIVAKUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta campur tangan dalam membantu pengusaha bot laut dalam membawa masuk tekong dan awak-awak dari Thailand serta Vietnam ke negara ini.

Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah mendapati kementerian itu sebelum ini tidak mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi pengusaha bot laut itu walaupun ia boleh mengancam industri perikanan laut dalam sekiranya dibiarkan berlarutan.

Di Kedah, lebih 2,000 pekerja asing dari Thailand dan Vietnam yang bekerja sebagai tekong dan awak-awak bot terbabit masih tidak dapat memasuki negara ini walaupun masalah itu telah berlarutan sejak Mac tahun lalu.

Malah, pengusaha bot laut dalam di negeri ini kesal apabila kementerian berkenaan tidak menunjukkan usaha untuk membantu pengusaha bot terlibat beroperasi semula seperti biasa bagi menampung keperluan ikan di pasaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini semalam, Pegawai Khas Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, S. Sivakumar berkata, kementerian itu sepatutnya mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi pengusaha bot laut dalam bagi membolehkan mereka dapat beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, difahamkan masalah yang sama juga dihadapi oleh pengusaha bot laut dalam di negeri Kelantan dan Perlis.

“Masalah pekerja asing dalam industri laut dalam ini sepatutnya mendapat perhatian pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memandangkan ia telah berlarutan sejak hampir setahun lalu,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan dijangka berbelanja besar untuk mengimport ikan dari luar negara bagi menampung permintaan di pasaran berikutan industri perikanan laut dalam di negara ini berisiko lumpuh.

Sivakumar menambah, pengusaha bot laut dalam di negeri ini juga menyarankan kementerian tersebut menyediakan dana khas kepada golongan tersebut untuk mereka beroperasi semula memandangkan mereka telah kehilangan pendapatan sejak hampir setahun lalu.

Menurutnya, mereka memerlukan modal yang besar termasuk pembelanjaan membawa masuk tekong dan awak-awak ke negara ini dan kos-kos lain sebelum dapat beroperasi semula seperti biasa.

“Pengusaha bot laut dalam di negeri ini juga tidak mendapat sebarang bantuan yang disalurkan oleh kerajaan berbanding golongan nelayan pantai sebelum ini,” sahaja. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya