PONTIAN: Tiada apa yang diharapkan sepasang suami isteri melainkan anak perempuan mereka kembali sedar daripada koma dan dapat kembali memulakan sesi persekolahan yang akan dibuka mulai 1 Mac ini.
Ini kerana sejak 17 hari lalu, Nursyazwa Qhuraisya Mohd. Shahrizan, 9, yang bersekolah di darjah tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Raya masih terlantar di katil walaupun telah melalui pembedahan membuang lebihan cecair di otaknya.
Menurut Mohd. Shahrizan Subohi, 40, keadaan anak keempat daripada lima beradik itu bermula setelah dia pengsan selepas mandi pada waktu pagi 10 Februari lalu dan terus dikejarkan ke Hospital Pontian sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
“Sebaik tiba di HSA, anak telah menjalani imbasan pada otak dan mendapati terdapat lebihan cecair yang memerlukan doktor melakukan pembedahan dengan segera bagi membuangnya.
“Selepas melalui pembedahan, Nursyazwa Qhuraisya masih tidak sedarkan diri dan hanya sesekali menggerakan ibu jarinya seolah-olah memberikan ‘respon’ apa yang dikatakan oleh saya dan isteri,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Gunung Pulai 2, Pekan Nanas, di sini hari ini.
Ujar Mohd. Shahrizan, dia pula kini telah setahun tidak bekerja disebabkan sakit saraf yang dialami dan hanya melakukan kerja-kerja membaiki sofa di rumah dengan memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 bergantung kepada jenis kerosakan.
Malah, disebabkan keadaan kesihatan yang semakin merosot, dia kini tidak lagi menerima tempahan membaiki sofa sebaliknya hanya melakukan kerja-kerja ringan seperti membuat kusyen sahaja.
“Isteri saya, Nor Ismawati Sanusi bekerja di sebuah kilang sofa dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan, tetapi kini bercuti sejak kejadian menimpa Nursyazwa sehingga hari ini.
“Kami hari-hari berdoa agar Nursyazwa yang aktif sebelum ini kembali bangun dan menjalani kehidupan seperti biasa sebagaimana kanak-kanak lain seusianya bersama kakak-kakak, abang dan adiknya,” katanya.
Katanya, selepas pembedahan itu, anaknya hanya diberikan minuman susu formula melalui tiub yang berharga RM188 bagi setiap tin lapan kilogram.
Selain Nursyazwa, pasangan itu memiliki empat anak lagi iaitu Nurul Syazwa Batrishah, 17, Nurul Syazwa Qumairah, 12, Mohd. Syafirul Amsyar, 11, dan Nur Syazwa Alisah, 7.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong yang memberikan sumbangan peribadi serta membantu mendapatkan bantuan dari jabatan dan agensi berkaitan.
Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini dan ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd. Sharizan di talian 011-3196 6552 atau Nor Ismawati (019-687 1966) serta menyumbang melalui akan bank Mohd. Shahrizan (4553584002-Public Bank) dan Nor Ismawati Sanusi (151155502238-Maybank). -UTUSAN ONLINE