Bangga dan bersyukur - Clement - Utusan Malaysia

Bangga dan bersyukur – Clement

Dr. Tan Yee Ling (dua kiri), Sheilla Melissa Sikin (kiri), Khairul Asraf Mohd Yasin (dua kanan) dan Clement Marai Francis (kanan) merupakan individu enam terawal di negara ini menerima vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – “Saya rasa bangga dan bersyukur kerana menjadi antara individu terawal menerima vaksin Covid-19 di negara ini,” kata pemandu ambulans di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, Clement Clement Marai Francis, 36.

Lebih menggembirakan, Clement adalah individu kedua disuntik vaksin jenis Pfizer-BioNTech selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dia bersama tiga petugas kesihatan lain adalah kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19 di Malaysia hari ini selain Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Klinik Kesihatan Presint 11, di sini.

Clement berkata, tiada kesan sampingan dialami selepas suntikan itu dan keadaan kesihatannya normal selepas setengah jam disuntik.

“Saya akan berkongsi perkara ini dengan rakan-rakan dan ahli keluarga dan tidak teragak-agak untuk mengajak mereka menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini.

“Sebelum ini saya banyak terbabit dengan penghantaran dan logistik membabitkan sampel kit ujian Covid-19 yang diperolehi daripada lokasi kuarantin di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Petugas kesihatan lain termasuk Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Dr Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan di PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Sheilla Mellissa Sikin.

Sementara itu, Khairul berkata, dia berharap PICK ini akan berjalan dengan lancar dan semua rakyat Malaysia dapat memberi kerjasama dalam mengurangkan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Katanya, sebelum ini, dia terbabit secara langsung dalam pengurusan Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

“Saya juga berharap supaya semua petugas barisan hadapan dapat mengambil suntikan vaksin Covid-19. InsyaAllah kita ikhtiar dan tawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Yee Ling berkata, dia rasa bangga kerana berpeluang menerima vaksin Covid-19 bersama pemimpin negara hari ini.

“Sebelum ini terbabit memberi vaksinasi bagi program imunisasi kepada bayi dan hari ini saya turut disuntik vaksin. Saya rasa sangat bertuah,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya