Azizah 40 tahun jual ikan pekasam - Utusan Malaysia

Azizah 40 tahun jual ikan pekasam

ASA Ismail, 64, menunjukkan ikan pekasam yang telah diperam bersama serbuk beras goreng di rumahnya di Kampung Belanga Pudak, Bintong, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Bermula dengan memancing bagi mengisi masa lapang sejak usia muda, siapa sangka hobi berkenaan menjadi sumber pendapatan tambahan bagi seorang warga emas, Asa Ismail, 64, yang menjual ikan pekasam hasil daripada aktiviti tersebut.

Tanpa sedar, dia yang lebih dikenali sebagai Azizah dalam kalangan penduduk setempat kini sudah lebih 40 tahun menghasilkan dan menjual ikan pekasam yang terdiri daripada ikan puyu dan haruan secara kecil-kecilan.

Ibu kepada lima orang anak itu memberitahu, dia memperoleh banyak ikan khususnya sekitar Julai hingga Disember iaitu ketika musim barat atau musim hujan.

Bagaimanapun, katanya, pada musim timur ketika ini, hasil ikan yang diperoleh daripada aktiviti memancing agak berkurangan atas sebab faktor cuaca panas.

“Saya sentiasa pergi ke merata tempat untuk memancing sehingga ke Kampung Tok Pulau dan Kampung Sungai Padang di Simpang Empat. Jika ada orang beritahu ada lubuk ikan, saya ke sana untuk memancing.

“Kebiasaan, saya mendapat sehingga 100 ekor ikan jika keluar memancing dua kali sehari,” katanya ketika ditemui di Kampung Belanga Pudak, Bintong di sini, semalam.

Menurut Azizah, dia menjual ikan pekasam dengan harga antara RM3 hingga RM5 sebungkus atau RM20 sekilo.

Katanya, dia memperoleh pendapatan sampingan hasil daripada jualan ikan pekasam tersebut sekitar ratusan ringgit sebulan.

“Ikan pekasam ini saya jual di Pasar Borong Kangar atau dibeli oleh pelanggan secara terus dari rumah,” katanya.

Sementara itu, wanita berkenaan memberitahu, bagi menjaga kualiti ikan pekasam yang dihasilkan, dia sentiasa memastikan ikan tersebut segar sebelum disiang selepas pulang dari memancing.

Menurutnya, resepi yang digunakan adalah mudah dan tidak rumit, namun mendatangkan hasil yang memenuhi cita rasa pelanggan.

“Selepas disiang dan dicuci, ikan tersebut diperam selama satu malam dengan garam bagi memastikannya tidak lembik serta busuk. Ikan kemudian dicuci semula sebelum diperam dengan serbuk beras goreng selama dua malam.

“Selepas itu, ikan pekasam ini sudah boleh dimasak atau disimpan dalam peti sejuk beku untuk tahan lebih lama,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN