IPOH: Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari dipanggil memberi keterangan lebih sejam di Balai Polis Lahat, di sini hari ini berkaitan isu darurat dan Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya, bulan lalu.
Beliau dipanggil polis untuk memberi keterangan bermula pukul 11.45 pagi dan selesai kira-kira pukul 1 tengah hari.
Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi yang ditemui pemberita selepas memberikan keterangan itu berkata, siasatan polis berkaitan isu darurat dan Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya bulan lalu.
“Apa yang boleh saya katakan adalah ia berkaitan isu Yang di-Pertuan Agong dan dan darurat yang pernah saya bincangkan sebelum ini melalui ‘FB Live’.
“Saya rasa, ada pihak yang tidak selesa dengan apa yang saya cakap sebelum ini dan cuba dijadikan bahan laporan yang diambil di luar konteks dan saya dianggap sebagai mahu melagakan institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Balai Polis Lahat di sini hari ini.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis untuk tindakan lanjut termasuk jika mahu menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.
“Saya akur dan sedia beri kerjasama. Setakat ini hanya saya yang dipanggil berkaitan isu ini, yang lain saya tidak tahu tetapi yang pasti siasatan dibuat mengikut Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Aziz mungkin berdepan tindakan polis berhubung kenyataannya berkaitan darurat dan Yang di-Pertuan Agong yang dibuatnya dalam acara disiarkan secara langsung di Facebook berikutan ada laporan polis dibuat terhadapnya. – UTUSAN ONLINE