Asrama, kilang, tapak binaan di Perak kena PKPD - Utusan Malaysia

Asrama, kilang, tapak binaan di Perak kena PKPD

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah asrama, kilang dan tapak binaan milik Central Medicare Sdn. Bhd. di Daerah Hilir Perak, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti PKPD yang terletak di Mukim Changkat Jong, Teluk Intan itu bermula 22 Februari sehingga 7 Mac depan.

“Sehingga 19 Februari lalu, Kementerian Kesihatan melaksanakan 1,966 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 185 orang didapati positif Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, ujar beliau lagi, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD selama tempoh 14 hari di situ.

Pelaksanaan PKPD ini katanya, bagi memudahkan usaha kementerian itu melakukan saringan secara bersasar ke atas sejumlah 2,808 pekerja rakyat tempatan dan warganegara asing.

Langkah tersebut juga untuk mengawal jangkitan dalam komuniti di lokaliti syarikat pengeluar sarung tangan untuk perubatan dan industri yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor itu.

Firma penjagaan kesihatan itu yang ditubuhkan sejak 26 Julai 2004 membekalkan pelbagai produknya untuk pasaran Malaysia dan merekodkan laba lebih RM200 juta pada 2019 lalu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan PKPD di Penjara Taiping dan kuarters kakitangan institusi ini di Perak seperti tarikh yang telah dijadualkan pada hari esok.

“Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan sudah pun melaksanakan 482 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 142 kes positif direkodkan,” tambah beliau.

Namun ujarnya, baki kes baharu wabak berkenaan di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan daripada pihak makmal.

PKPD di lokaliti ini mula dikenakan pada 26 Januari lalu sebelum dilanjutkan lagi selama 14 hari bermula sejak 9 Februari lepas susulan trend penularan pandemik semakin bertambah.

Lokaliti di Jalan Taming Sari seluas 5.2 hektar ini siap dibina pada 1879 dengan nama asal Penjara Larut bagi menahan pembesar Melayu yang menentang penjajah Inggeris ketika itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN