APM bantu kekang penularan wabak Covid-19 dalam komuniti - Utusan Malaysia

APM bantu kekang penularan wabak Covid-19 dalam komuniti

Angkatan Pertahanan Awam bersama RELA telah menjalankan pemantauan di sekitar pasar awam untuk memastikan SOP dipatuhi oleh setiap peniaga dan pelanggan yang berada di pasar awam tersebut. UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri menggunakan kepakaran daripada Pasukan Tindak Balas Kecemasan (CDERT) agensi itu bagi membantu mengekang penularan wabak Covid-19 dalam komuniti.

Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA), Ishak Mohd. Radzi berkata, anggota CDERT itu dilantik dalam kalangan komuniti di setiap daerah memandangkan mereka lebih mahir dan mengetahui selok-belok kawasan setempat.

Setakat ini, tambah beliau, pihaknya mempunyai 12 pasukan berkenaan dengan kekuatan anggota dalam kalangan komuniti sekurang-kurangnya 30 orang.

“Mereka ini berada lebih dekat dengan komuniti dan membantu APM dari segi penyaluran maklumat berkaitan Covid-19 serta memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak ini,” katanya selepas meninjau Pasar Awam, Jalan Perak, di sini hari ini.

Turut serta dalam tinjauan pemerkasaan komuniti dalam menangani pandemik Covid-19 itu ialah anggota daripada Jabatan Sukarelawan Rela (Rela) dan Jabatan Penerangan.

Empat pasar awam di sekitar pusat bandar iaitu Pasar Awam Jalan Kuantan; Pasar Awam Jalan Perak; Pasar Awam Taman Free School dan Pasar Awam Jelutong terlibat dengan program berkenaan hari ini.

Menurut Ishak, jumlah keseluruhan anggota APM di negeri ini seramai 366 anggota mencukupi untuk menjalankan tugas-tugas berkaitan dengan pencegahan wabak Covid-19.

“Setakat ini, tiada anggota APM dijangkiti wabak ini dan setiap anggota sentiasa diingatkan mematuhi SOP pencegahan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Ishak berkata, program tinjauan pemerkasaan komuniti dalam menangani pandemik Covid-19 itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Penerangan dan Rela bagi memastikan orang ramai sentiasa peka dan mematuhi SOP pencegahan Covid-19.

“Sasaran tinjauan kita adalah di lokasi-lokasi tumpuan ramai dan kawasan zon merah agar orang ramai lebih peka dan patuh dengan SOP terkini pencegahan wabak ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN