PETALING JAYA: Bagi memastikan tradisi makan besar pada malam Tahun Baharu Cina diteruskan, sebuah keluarga yang menyambut perayaan berkenaan memenuhi agenda itu secara dalam talian untuk
mengumpulkan ahli keluarga meluangkan masa bersama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nur Elaine Aisyah, 44, menganggap pendekatan berkenaan dapat mengurangkan rasa sedihnya yang tidak dapat bersama-sama ahli keluarga lain pada malam yang penuh bermakna bagi masyarakat Cina.
“Selepas tidak dapat berkumpul beramai-ramai untuk acara makan besar, saya agak sedih terutama apabila mengenangkan nenek yang semakin berusia. Setiap saat bersamanya membawa makna besar untuk saya.
“Kami mengambil inisiatif untuk tetap berkumpul tetapi menggunakan medium panggilan video, Zoom,” katanya semalam.
Kerajaan menetapkan tradisi makan besar keluarga sempena sambutan Tahun Baharu Cina hanya boleh dihadiri tidak lebih 15 ahli keluarga.
Nur Elaine Aisyah yang berasal dari Johor kini menetap di Subang Jaya, Selangor dan masih mempunyai ahli keluarga di Muar, Batu Pahat, Johor Bharu dan Kota Tinggi sementara ada beberapa ibu saudaranya yang berhijrah ke Singapura serta Amerika Syarikat (AS).
Dia memeluk Islam sejak 15 tahun lalu tetapi tidak pernah melupakan tradisi sambutan Tahun Baharu Cina.
Katanya, menerusi pertemuan dalam talian dengan ahli keluarga nya bukan sahaja dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 malah memudahkan ahli keluarganya makan bersama tanpa mengira jarak mereka.
“Saya rasa ada kebaikannya kalau kita menggunakan aplikasi Zoom kerana mereka yang berada di rantau seperti di AS boleh dapat turut serta dalam majlis makan besar,” katanya.