PUTRAJAYA: Jumlah pekerja warga asing yang menjalani ujian saringan Covid-19 di seluruh negara semalam terus menyaksikan lonjakan apabila semakin ramai disahkan positif wabak itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka direkodkan Kementerian Sumber Manusia ialah 299 orang berbanding 230 orang dicatatkan kelmarin.
“Kementerian itu memaklumkan sejumlah 8,717 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 305,620 selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 13,202 majikan.
Daripada jumlah tersebut ujarnya, cuma 6,028 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 299,592 orang lagi adalah negatif.
Sebanyak 1,264 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Mulai 1 Februari, ujian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi kepada baki sembilan buah negeri dan juga Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Sebelum itu kata beliau, arahan tersebut hanya melibatkan pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.
Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.
Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.
Kementerian Sumber Manusia menetapkan tempoh akhir sehingga 28 Februari ini kepada semua majikan di seluruh negara melakukan saringan untuk pekerja asing digajikan mereka.
Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.- UTUSAN ONLINE