Anggota bomba sesak nafas akibat strok haba - Utusan Malaysia

Anggota bomba sesak nafas akibat strok haba

ANGGOTA bomba dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan selepas hampir pengsan akibat strok haba selepas selesai memadam kebakaran di sebuah bengkel membaiki dan mengecat kereta di Tikam Batu, Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Anggota bomba terpaksa diberikan bantuan pernafasan kerana hampir pengsan akibat strok haba selepas selesai memadam kebakaran sebuah bengkel membaiki dan mengecat kereta di Batu Lintang, Tikam Batu di sini semalam.

Anggota terbabit, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Muhammad Fazrin Zulkefli, 30, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan lanjut.

Komander Operasi dari BBP Tikam Batu, Pegawai Kanan Bomba Rudzuan Husain berkata,  Muhammad Fazrin yang memakai peralatan lengkap ketika operasi itu mengadu sesak nafas selepas menyelesaikan tugas memadam kebakaran.

“Ketika membuka pakaian khas dan topeng oksigen, anggota terbabit mengadu sakit dada dan tidak dapat bernafas dengan sempurna.

“Dia yang dalam keadaan separuh sedar kemudian diberi bantuan pernafasan awal sebelum dihantar untuk menerima rawatan lanjut di HSAH dan kini keadaannya dilaporkan stabil,” katanya di sini  hari ini.

Menurut Rudzuan, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran bengkel itu pada pukul 9.46 pagi sebelum mengerakkan sebuah jentera ke lokasi.

“Kita tiba di lokasi enam minit kemudian dan mendapati bengkel berstrukturkan kayu itu sedang terbakar.

“Pihak kita turut mendapat bantuan BBP Sungai Petani serta Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani dan Tikam Batu untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Katanya, kebakaran mengakibatkan kemusnahan 80 peratus selain turut terbakar lima buah kereta yang sedang dibaiki dan dua buah motosikal.

“Tiga pekerja bengkel itu tidak mengalami sebarang kecederaan yang mana punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN