Anak kelahiran Kelantan, bawa harapan rakyat - Utusan Malaysia

Anak kelahiran Kelantan, bawa harapan rakyat

KAPTEN Hamdan Kapten Hamdan Che Ismail menerbangkan pesawat Airbus 330-300, MH604 yang membawa sebanyak 312,390 dos vaksin Covid-19 ke Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Siapa sangka, anak kelahiran Tumpat, Kelantan menjadi individu terpenting dalam memastikan puluhan juta rakyat Malaysia dapat kembali ke rutin kehidupan sedia kala. 

Kapten Hamdan Che Ismail yang sudah berkhidmat 29 tahun dengan Malaysia Airlines Bhd. (MAS) memberi harapan baharu kepada negara apabila menerbangkan pesawat Airbus 330-300, MH604 yang membawa sebanyak 312,390 dos vaksin Covid-19 yang dibangunkan Pfizer-BioNTech. 

Jasa beliau juga diiktiraf Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong melalui instagramnya, sebentar tadi. 

Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada juruterbang itu yang juga Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines, yang terlibat dalam membawa masuk bekalan vaksin Pfizer pertama ke Malaysia.

“Kapten Hamdan memberitahu saya bahawa beliau gembira dan bangga kerana dapat, melaksanakan misi yang amat bermakna ini dengan jayanya.

“Syabas juga buat semua yang terlibat dalam urusan membawa masuk vaksin ini,” katanya. 

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 yang dikendalikan MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo), pada pukul 10 pagi. 

Perjalanan vaksin ini dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan Pfizer dan syarikat penghantaran antarabangsa, DHL melalui perjanjian di peringkat global. 

Vaksin ini berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN