PUTRAJAYA: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dapat menduduki peperiksaan kerana dirawat di hospital akibat positif Covid-19 atau sedang dikuarantin, tidak perlu patah semangat kerana mereka masih dibenarkan menjalani peperiksaan selepas sembuh.
Memberitahu Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, mereka berpeluang menduduki SPM yang akan dijadualkan semula dan Kementerian Pendidikan mempunyai garis panduan menguruskan hal itu.
Menurut beliau, sekatan untuk tidak membenarkan calon positif dan yang dikuarantin menduduki peperiksaan adalah bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan kepada rakanrakan lain termasuk petugas pusat peperiksaan.
“Pelajar yang sakit akan dapat berehat dan betul-betul pulih dari segi mental dan zikal sebelum menduduki peperiksaan.
“Kita mengingatkan semua calon yang akan menduduki peperiksaan, jagalah kesihatan diri dan buatlah yang terbaik,” katanya di sini semalam.
Seramai 401,105 calon SPM 2020 bakal menduduki kertas pertama peperiksaan hari ini di 3,310 pusat peperiksaaan di seluruh negara.
Pada masa sama, Adham menasihatkan kepada para pelajar supaya sentiasa menjaga kesihatan diri.
Katanya, patuhi dengan tegas prosedur operasi standard (SOP) iaitu sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar rumah.
Beliau berkata, sekiranya melakukan perbincangan berkumpulan, pastikan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter dan sentiasa mengingatkan sesama kawan-kawan agar sentiasa mengamalkan kebiasaan baharu.
“Untuk guru-guru, terima kasih di atas dedikasi dan komitmen anda,” katanya.