Ambil peluang mulakan perniagaan dalam talian - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Ambil peluang mulakan perniagaan dalam talian – Tengku Zafrul

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kanan) berbual bersama salah seorang murid yang mengikuti PdPR selepas melawat dan merasmikan PPDM Kampung Serting Ilir di Jempol hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil peluang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini dengan memulakan perniagaan dalam talian bagi mengembangkan pasaran mereka.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengusaha PKS dinasihat untuk tidak berputus asa dalam perniagaan mereka ketika menghadapi cabaran ekoran PKP.

“Saranan saya semasa masa PKP ini mesti ambil peluang untuk memulakan perniagaan dalam talian, pengusaha jangan berputus asa.

“Kerajaan telah bantu beri dana untuk peniaga memulakan perniagaan, itu nasihat saya mulakan perniagaan dalam talian terutama semasa PKP ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat perusahaan kuih kapit Usahawan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Kampung Serting Ilir, dekat sini hari ini.

Lawatan tersebut merupakan salah satu lokasi dalam lawatan kerja sehari beliau ke daerah Jempol hari ini bagi melihat bagaimana program-program bantuan disalurkan kerajaan memberi manfaat kepada masyarakat.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif.

Tengku Zafrul kemudiannya turut melawat dan merasmikan Projek Pusat Pembelajaran Digital dan Multimedia (PPDM) di Pusat Komuniti Desa (PKD) Kampung Serting Ilir.

Pada program tersebut, beliau turut menyerahkan sumbangan 20 tablet kepada pelajar dan murid dalam kalangan kategori 40 peratus terendah (B40) yang memerlukan peranti untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sementara itu, Pengurus PKD Kampung Serting Ilir, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 30 berkata, PPDM Kampung Serting Ilir telah beroperasi sejak minggu lalu bagi membantu murid-murid sekolah di kampung berkenaan yang kurang berkemampuan untuk mengikuti PdPR.

“Pusat ini beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang, ia ketika ini lengkap dengan kemudahan tujuh komputer riba dan ‘smart tv’ hasil sumbangan Datuk Mohd. Salim.

“Ketika ini ia boleh menempatkan kira-kira 10 orang pelajar untuk mengikuti PdPR dalam satu-satu masa. Hasil sumbangan 20 tablet komputer oleh Menteri Kewangan kepada pelajar dalam kalangan B40, dapat memberi peluang lebih ramai lagi murid untuk datang dan belajar ke sini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN