BUKIT MERTAJAM: Polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan bagi membantu siasatan susulan dakwaan mendera pembantu rumah mereka di sebuah rumah di Jalan Perpaduan, Kampung Baru, di sini kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu dikatakan telah dua tahun bekerja dengan pasangan terbabit.
Katanya, ketika serbuan dilakukan di rumah tersebut, mangsa yang juga wanita warga Kemboja ditemukan di atas lantai di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum diselamatkan.
“Pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian muka, parut melecur di lengan, luka bekas jahitan, dan beberapa kesan calar di badan dan kaki wanita itu.
“Mangsa juga telah mengadu didera oleh majikannya (si isteri) dengan cara dipukul, disimbah air panas, dicubit dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shafee berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk rawatan lanjut.
“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 13 ATIPSOM (Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran) & 44 ATIPSOM 2007.
“Sabit kesalahan, pasangan yang masing-masing berusia dalam lingkungan usia 50-an dan 60-an itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun selain dikenakan denda,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE