Aktiviti MICE bersemuka di PKP boleh tapi ada syarat - Utusan Malaysia

Aktiviti MICE bersemuka di PKP boleh tapi ada syarat

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengusaha acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan beroperasi semula awal Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu yang bermula pada 5 Mac depan bagaimanapun masih tertakluk kepada beberapa syarat ketat.

“Ini ambil kira kesukaran dialami pemain industri ini yang hampir ‘nazak’ dan pada masa sama bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Antara syarat dikenakan itu ujar beliau, ialah had kehadiran setiap program MICE sebanyak 25 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 250 orang atau jumlah manakah lebih kecil.

Bilangan tersebut katanya, perlu dengan penganjur turut kena mematuhi aspek penjarakkan fizikal minimum satu meter dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) asas yang lain.

“Jumlah ini rendah berbanding di kawasan PKP Bersyarat menetapkan 50 peratus kapasiti premis dan di negeri PKP Pemulihan, ia kena jarak fizikal mengikut luas premis,” tambahnya.

Sebelum ini pada 18 Februari lalu, Ismail Sabri memaklumkan larangan aktiviti MICE di negeri yang dikenakan PKP termasuk majlis rasmi atau pun tidak rasmi anjuran kerajaan dan swasta.

Ia meliputi program berbentuk bengkel, kursus, latihan, ceramah dan seminar selain acara sosial seperti perkahwinan, pertunangan, resepsi, akikah, tahlil dan ulang tahun kelahiran.

Bagaimanapun katanya, langkah tegas itu mengakibatkan lebih 5,000 pekerja industri MICE hilang kerja dan operator tempatan juga berdepan situasi kritikal muflis dalam masa terdekat.

“Semalam, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membentangkan hasil industri ini amat terjejas teruk kerana sepanjang tahun lalu ia jatuh kepada RM2.25 bilion,” katanya.

Nilai perolehan itu ujar Ismail Sabri, berkurangan sehingga 90 peratus berbanding direkodkan pada 2019 yang menyumbang sebanyak RM9.25 bilion kepada ekonomi di seluruh negara.

Justeru katanya, setelah berbincang, Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara bersama Kementerian Kesihatan bersetuju aktiviti MICE bersemuka dengan had kehadiran.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya