PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan mengesahkan bahawa aktiviti memancing ikan bagi tujuan sara hidup adalah dibenarkan termasuk individu bukan kerja sebagai nelayan.
Menerusi hantaran terkini dalam akaun sosial rasmi Facebook agensi itu hari ini, peraturan baharu tersebut turut diperakui oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.
“Ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun aktiviti memancing yang bertujuan hobi masih lagi tidak dibenarkan,” katanya.
Menurut jabatan itu lagi, kebenaran kegiatan berkenaan meliputi sungai, tebing, lombong, tasik dan pesisir pantai dengan pemancing perlu mematuhi SOP yang ditetapkan MKN.
Mereka juga tambah kenyataan agensi tersebut, diingatkan harus mengikut pelbagai garis panduan perundangan dan segala peraturan lain berkaitan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Untuk pengusaha bot dan kolam memancing ikan secara rekreasi, pihak Jabatan Perikanan sedang berusaha mendapatkan kebenaran daripada MKN,” kata hantaran itu lagi.
Kenyataan tersebut tular dalam kalangan warganet tempatan apabila menerima lebih 1,700 kali tanda suka selain dikongsi hampir 1,800 kali dan mendapat sejumlah 1,300 komen.
Agensi itu pada bulan lalu dilaporkan telah berusaha untuk membolehkan aktiviti memancing dibenarkan semula dengan SOP tertentu dan menghargai kerjasama pemancing selama ini.
Malah, mereka diiktiraf kerana banyak menyumbang maklumat kepada jabatan itu mengenai status sumber perikanan negara di samping menyokong pelbagai program dilaksanakan.
“Pemancing tempatan sering jadi ‘mata dan telinga’ pihak jabatan dalam industri perikanan terutama pencerobohan nelayan asing atau kegiatan penangkapan secara haram,” katanya.
Sebelum ini, MKN membenarkan aktiviti perikanan laut dan darat, akuakultur, import dan eksport ikan atau produk ikan, ikan hiasan serta makanan ikan melibatkan seluruh rantaian.
Ini meliputi pembungkusan, kilang ais, simpanan sejuk beku, khidmat logistik, pembekalan benih, makmal ujian, bengkel bot dan enjin, penyelenggaraan elektrik serta kolam ternakan.
Aktiviti rentas kawasan bagi sektor ini juga dibenarkan MKN dengan syarikat atau individu yang terlibat mendapatkan surat pengesahan di Pejabat Perikanan Negeri masing-masing.- UTUSAN ONLINE