Pengantin dibenar akad nikah di masjid - Pengarah JHEAIK

Akad nikah dibenarkan di masjid

MOHD. YUSRI MD. DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di masjid kariah masing-masing berkuat kuasa Jumaat ini.

Pengarahnya, Mohd. Yusri Md. Daud berkata, bakal pengantin di Zon Merah bagaimanapun perlu mengemukakan keputusan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Covid-19 itu kepada Pegawai Agama Daerah dalam tempoh tiga hari sebelum akad nikah berlangsung.

“Ujian RTK-Ag ini boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan termasuk swasta dan kos ujian adalah tanggungan pemohon sendiri.

“Bakal pengantin yang berlainan daerah dan negeri pula hendaklah mendapat kebenaran merentas daerah dan negeri daripada pihak polis. JHEAIK dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tidak akan mengeluarkan apa-apa surat sokongan bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, majlis akad nikah tersebut perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan pejabat agama daerah masing-masing.

“Akad nikah hanya dibenarkan selama 20 minit setiap pasangan dan dihadiri tidak lebih 10 orang di Zon Merah sementara bukan Zon Merah 20 orang di masjid termasuk jurunikah, dua saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan walinya.

“Pihak masjid harus memastikan semua tetamu bersurai dengan segera sebaik sahaja akad nikah selesai bagi membolehkan majlis pasangan lain pula,” katanya.

Tambahnya, pasangan dan tetamu yang hadir juga perlu SOP ditetapkan di masjid berkenaan. 

“Selain penjarakan sosial dan tiada berjabat tangan ketika lafaz, turut dilarang upacara lain di kawasan masjid seperti membatalkan air sembahyang, sarung cincin, bergambar dan lain-lain,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, JHEAIK masih menangguhkan pelaksanaan kursus praperkahwinan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu.

“Justeru itu, JHEAIK melaksana temu duga bagi menggantikan kursus tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya