KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini selesai menerima vaksin Covid-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Ahmad Samsuri yang merupakan penerima pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech di negeri ini mendapat suntikan itu pada pukul 4.05 petang dengan dikendalikan jururawat, Sujanah Muhimin dan Norbaizura Awang.
Selain beliau, dua lagi individu lain yang menerima suntikan vaksin itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak di samping Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, semua wakil rakyat negeri ini yang menjadi antara penerima fasa pertama vaksin Covid-19 akan dihubungi menerusi aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan berkenaan.
“Saya tidak rasa apa-apa kesukaran tadi dan sepanjang rehat 15 minit pun okay, insya-Allah.
“Jadi, semua rakyat tidak perlu merasa takut dan sepatutnya teruja menanti saat masing-masing kerana ini merupakan proses biasa,” katanya kepada pemberita selepas selesai menerima suntikan vaksin itu.
Ahmad Samsuri bersama Alias dan Nor Azimi dijadualkan menerima dos kedua mereka pada 19 Mac ini.
Sementara itu, Nor Azimi berkata, urusan pemberian suntikan vaksin Covid-19 membabitkan petugas barisan hadapan di negeri ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Mei depan.
“Kita menyasarkan lebih 15,000 barisan hadapan menerima vaksin berkenaan dan buat masa ini kita masih mengemas kini senarai.
“Terengganu sudah menerima sejumlah 16,330 dos vaksin semalam dan kita dimaklumkan akan menerima penghantaran lagi, tetapi, belum diberitahu bila,” katanya.
Kesemua 16,330 dos vaksin Covid-19 untuk penghantaran fasa pertama di negeri ditempatkan di tiga pusat penyimpanan iaitu di HSNZ di samping dua lagi di Kemaman dan Setiu. -UTUSAN ONLINE