Ahli parlimen perlu diletak sebagai kumpulan pertama penerima vaksin

Ahli parlimen perlu diletak sebagai kumpulan pertama penerima vaksin

AMRAHI BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan disarankan untuk menyenaraikan ahli parlimen antara golongan pertama yang akan menerima vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijangka dilaksanakan hujung bulan ini.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang berkata, kumpulan profesional itu perlu menjadi penerima awal kerana mereka sentiasa berjumpa dengan orang awam serta penduduk kawasan yang diwakilinya.

“Ahli parlimen selalu berjumpa dengan rakyat di kawasan masing-masing dan mereka menjadi golongan yang berisiko untuk dijangkiti dan menyebarkan Covid-19.

“Oleh demikian, kerajaan perlu mempertimbangkan perkara ini supaya mereka boleh menjalankan tugas tanpa rasa takut serta gentar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, ahli parlimen boleh menjadi contoh kepada rakyat Malaysia sekiranya mereka bersedia menjadi kumpulan pertama penerima vaksin terbabit.

Menurut Amrahi, kesediaan ahli parlimen berbuat demikian akan memberi keyakinan kepada segelintir rakyat mengenai keberkesanan vaksin apabila program terbabit bermula.

“Dengan kepemimpinan melalui teladan ini, rakyat akan menyertai Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan dengan yakin tanpa rasa was-was.

“Sasaran kerajaan untuk sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk di Malaysia imun terhadap virus berkenaan pada tahun hadapan dapat direalisasikan,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada penghujung Februari ini.

Menurutnya, program terbabit akan dilaksanakan secara tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya