Agong utama keselamatan, kesihatan rakyat - Utusan Malaysia

Agong utama keselamatan, kesihatan rakyat

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dalam keadaan negara berdepan krisis kesihatan global ekoran pandemik Covid-19, apa yang diutamakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah kesihatan dan keselamatan seluruh rakyat di tanah air tercinta ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, atas faktor itu, Seri Paduka memperkenankan pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Jelasnya, ia atas pertimbangan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan situasi semasa akibat daripada pandemik Covid-19 yang mengancam keselamatan serta kehidupan ekonomi rakyat.

“Semalam Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri, ia sekali gus bukti baginda sedia maklum dan faham tindakan pengisytiharan darurat sebelum ini.

“Terbukti keputusan yang diputuskan Seri Paduka berkenaan melaksanakan proklamasi darurat sebelum ini tidak didorong oleh pihak-pihak tertentu, sebaliknya ia bagi menangani penularan Covid-19, bukan demi kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara tersebut termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Oleh itu, menurut beliau, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen bersidang tidak tepat.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, perkara tersebut jelas dan diharapkan semua pihak faham bahawa proklamasi darurat dan penggubalan pelbagai ordinan dalam tempoh tersebut jelas tidak menggantung sidang Parlimen.

“Keutamaan yang lebih penting dan mengatasi segala-galanya adalah soal keselamatan rakyat dan kesihatan awam, itu yang diutamakan oleh Seri Paduka Baginda,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya