KUALA LUMPUR: Agihkan kerusi secara adil antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kerana hanya itu satu-satunya cara mengelakkan mereka kalah tidak bermaruah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Itu rangkuman daripada beberapa penganalisis politik ketika diminta mengulas ramalan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa jalinan kerjasama antara tiga parti itu akan ranap sebelum sempat mengecapi kemenangan.
Penganalisis politik bebas, Arif Anwar Lokmanul Hakim berkata, UMNO, Bersatu dan Pas perlu bijak mengatur formula mengikut status quo parti asal – dengan membahagikan kerusi yang menang dan kalah secara adil.
Tambahnya, beliau tidak melihat masalah antara UMNO dan Pas kerana kejelasan hubungannya sudah terbukti melalui permeteraian dalam Muafakat Nasional pada September 2019.
“Cuma, masalah timbul selepas Bersatu hadir dan mencetuskan pergolakan (terutama soal agihan kerusi) tetapi saya percaya hubungan tidak akan terputus semudah itu.
“Jika diselesaikan secara diplomatik, mereka boleh menang dalam pilihan raya dengan syarat kurang unsur sabotaj dan ini yang saya rasa akan berlaku antara UMNO dan Bersatu. Ia tidak boleh dielakkan kerana persaingan kuasa dan krisis lain sesama mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Kelmarin, Mahathir mendakwa kebersamaan UMNO, Bersatu dan Pas hanya bersifat kepentingan politik masing-masing dan akan terburai pada pilihan raya umum akan datang manakala turut MN tidak bertahan lama.
Kenyataan UMNO bertanding di semua kerusi tradisinya termasuk kerusi yang diinginkan Bersatu menguatkan lagi spekulasi perbalahan antara kedua-dua parti.
Pas pula berbelah bahagi kerana menyokong Bersatu yang menerajui PN pada masa sama ingin bersama UMNO memperkasakan MN.
Senada dengan Arif, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, semua parti peneraju harus membuktikan ramalan Dr. Mahathir tidak berlaku.
Ini termasuk membetulkan persepsi bahawa gagasan politik Melayu Islam bukan sekadar retorik malah perlu ada kompromi antara ketiga-tiga parti yang berteraskan pentadbiran negara.
“Jika ini pun gagal dicapai, terbukti bahawa ramalan Dr. Mahathir bukan sekadar ramalan.
Pembunuhan karakter (characteristic assasinations) sesama sendiri juga hanya merugikan sekali gus membuka ruang kepada gabungan baharu yang mungkin akan bertambah rapuh.
“Jika UMNO bekerjasama dengan parti lain yang tidak sehaluan, apa penerimaan akar umbi? Sebarang gabungan baharu hanya akan memberi ancaman kepada mereka untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berkata: “Semua parti memerlukan pendekatan situasi menang-menang. Ketepikan ego, bersikap terbuka dan realistik jika mahu melahirkan satu gagasan yang mantap,” – UTUSAN ONLINE