Ada peniaga degil ambil peluang jual mahal - Utusan Malaysia

Ada peniaga degil ambil peluang jual mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengakui memang ada segelintir peniaga degil walaupun tahu hukuman denda dikenakan amat tinggi.

 Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keadaan itu tidak dapat dinafikan kerana memang sifat lumrah manusia biasa cuba mengambil peluang jika ada kesempatan.

“Dia (peniaga tidak jujur) mungkin berasa seronok dapat terlepas daripada tindakan tetapi kita (kementerian) mengingatkan negara ada akta tertentu bagi mengurus isu sebegini,” tegasnya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar secara maya dari pejabatnya di sini hari ini selepas mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2021.

Skim itu bakal berkuat kuasa dari 8 Februari sehingga 16 Februari ini melibatkan 16 jenis barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mengulas lanjut, Alexander turut memberi amaran kepada pengguna agar tidak bersekongkol dengan peniaga yang tidak beretika itu dan perlu melaporkan kes kepada pihak kementerian.

“Kita, malah menyediakan pelbagai medium penyaluran maklumat bagi memudahkan para pengguna berkaitan isu harga termasuk melalui Skuad Tindakan Aduan Rakyat,” jelas beliau.

Skim itu ujarnya, hanya akan berjaya jika semua pihak termasuk pengguna bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing bagi membendung amalan tidak jujur peniaga tertentu.

Menjelaskan mekanisme penetapan harga maksimum ketika perayaan, beliau berkata, ia ditentukan bersesuaian dengan trend semasa dan lebih rendah seperti dilakukan sebelum ini.

Kementerian itu juga merujuk daripada pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun lalu dan bulan lepas yang berdasarkan pungutan data secara mingguan.

“Pihak kami turut terima pandangan pelbagai agensi lain iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan,” katanya.

Alexander menambah, harga siling itu juga dicapai hasil perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong agar tidak pula merugikan jualan peniaga runcit kecil.

Justeru, katanya, jika masih ada penjual sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat buat keuntungan tinggi, kementerian boleh bertindak mengikut akta sedia ada.

Individu terbabit ujar beliau, sekiranya disabitkan kesalahan oleh mahkamah boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau pun kedua-duanya sekali.

“Bagi peniaga yang gagal letak tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan harga terkawal tempoh perayaan, mereka boleh didenda mahkamah hingga RM10,000,” katanya.

Pegawai penguat kuasa kementerian itu kata Akexander, akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah bagi menjalankan operasi pemeriksaan dan pemantauan harga.

Pengguna juga boleh mengajukan aduan terus di mana-mana 72 buah pejabat kementerian di seluruh negara atau menghubungi talian 1800-886-800 atau 03-8882 6245 / 6088. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN