PETALING JAYA: Nama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani antara disebut-sebut bakal menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaik sahaja Tan Sri Abdul Hamid Bador menamatkan kontraknya sebagai Ketua Polis Negara, Mei ini.
Selain beliau, nama yang turut disebut-sebut iaitu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya antara calon yang layak memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Acryl Sani.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Abdul Hamid bakal menamatkan kontraknya pada 4 Mei ini dan mengikut tradisi, sudah pasti tugas menerajui pasukan itu diserahkan kepada timbalannya.
Bagaimanapun kata sumber, jawatan KPN dan timbalannya merupakan Jawatan Khas di bawah Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan di mana pelantikan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Acryl Sani dilihat layak kerana beliau berkelulusan tinggi dan menimba banyak pengalaman di pelbagai peringkat PDRM. Malah beliau juga pernah menjadi pegawai penyiasat, Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Negeri serta Pengarah di tiga jabatan di Bukit Aman.
“Walau apapun, segala keputusan terpulang kepada kerajaan untuk menentukan siapa yang akan dilantik,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut kata sumber itu, beberapa lagi pemimpin tertinggi polis turut layak untuk dilantik ke jawatan tersebut.
Akan tetapi jelas beliau, sekurang-kurangnya empat atau lima orang akan bersara pada tahun ini.
“Selain itu, berdasarkan pengalaman sebelum ini, kerajaan mungkin memilih seseorang yang hampir bersara dengan disambung kontrak perkhidmatan.
“Oleh itu, tidak mustahil nama seperti Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim layak dipertimbangkan untuk dilantik,” jelasnya.
Selain mereka, jelas sumber lagi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak kurang hebatnya antara individu-individu dalam senarai yang layak.
Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib pada 4 Mei 2019.