Ab. Rahim impikan sarung kaki palsu - Utusan Malaysia

Ab. Rahim impikan sarung kaki palsu

KHIRUL Nizam Said (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan kepada Ab. Rahim Ayob oku yang terlatar di alamat 101, JLn Sudirman 1, Kampung Seri Serdang Baru, Skudai , Johor Bahru di sini hari ini. -UTUSAN/ Baazlan Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibarat peribahasa, ‘malang tiada datang tunggal’. Begitulah nasib menimpa seorang bekas pekerja kilang elektronik yang kini hanya kaku di atas katil setelah kudung kedua-dua belah kakinya serta pergelangan tangan kiri akibat komplikasi penyakit.

Malah, keadaan Ab. Rahim Ayob, 58, yang tidak berkahwin itu juga bertambah teruk apabila tangan kanannya pula sudah tidak lagi berdaya untuk digerakkan disebabkan serangan penyakit angin ahmar sejak empat tahun lalu.

Harapan lelaki itu kini tiada apa-apa kecuali berupaya menyarung kaki palsu bagi membolehkan dia kembali mengatur langkah selepas terpaksa mengharapkan ihsan kakaknya, Rupiah Ayob, 64, yang memberi makan dan minum serta membersih dan memandikan Ab. Rahim hari demi hari di Kampung Sri Serdang Baru, Tampoi, di sini.

Episod duka Ab. Rahim yang menghidap penyakit darah pekat dan kencing manis itu bermula pada 1990-an apabila kakinya terpaksa dipotong lima kali secara berperingkat dan terbaharu paha kirinya pula terpaksa dipotong disebabkan sudah membengkak kira-kira dua bulan lalu.

“Atas faktor kesihatan dan sudah menjadi orang kurang upaya (OKU), saya terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang elektronik di Jalan Mangga, Tampoi pada tahun 1998 kerana sukar untuk bergerak dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.

“Saya terus diuji apabila tapak tangan kiri pula terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit tersebut pada tahun 2004. Empat tahun berselang, tangan kanan saya pula tidak dapat bergerak disebabkan serangan angin ahmar dan kini saya langsung tidak boleh menggerakkan badan sejak beberapa minggu yang lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Ab. Rahim menerima kunjungan Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Khirul Nizam Mat Said yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan termasuk tilam serta wang tunai RM500 sempena Program Ziarah Asnaf.

Ab. Rahim berkata, dia amat bersyukur menerima bantuan daripada pihak MAINJ selain menerima bantuan bulanan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Johor sebanyak RM450 sebulan.

Katanya, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga Rupiah bagi menjaganya yang memerlukan rawatan setiap dua hari di Klinik Kesihatan Batu 5, Tampoi, di sini dengan bantuan anak saudaranya.

“Syukur (alhamdulillah) di atas pemberian ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban selain menampung belanja membeli lampin dewasa serta keperluan lain,” katanya yang berharap dapat berjalan seperti biasa.

Dalam pada itu, Khirul Nizam berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan bantuan saraan bulanan sebanyak RM500 sebulan buat Ab. Rahim di sepanjang hayatnya.

“Kita akan pertimbangkan bantuan bulanan seumur hidup sebanyak RM500 buat Ab. Rahim. Diharap bantuan itu dapat meringankan beban serta tabah menghadapi ujian Allah di samping ahli keluarga,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan juga boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank atas nama Rupiah Ayob yang bernombor 101132414266. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya