90 minit tumpaskan penjenayah pecah rumah - Utusan Malaysia

90 minit tumpaskan penjenayah pecah rumah

TOK BENG YOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Polis mengambil masa kira-kira 90 minit sebelum berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terlibat kes pecah rumah di Taman Muhibah, Saleng di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yow berkata, dua lelaki berusia 31 dan 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Team Lejang Balai Polis Kulai kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, kejadian disedari mangsa pada pukul 3.30 petang selepas mendapati keadaan rumahnya berselerak dan tingkap biliknya dipecahkan selain wang tunai RM50 lesap.

“Polis kemudian membuat rondaan dan menahan seorang daripada suspek sedang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan tersebut.

“Suspek pertama itu membawa pihak polis ke sebuah kuil di Saleng dan menahan seorang lelaki disyaki rakan sejenayahnya. Dua lelaki tempatan itu ditahan susulan laporan kes pecah rumah di taman tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beng Yow berkata, dalam tangkapan itu, polis merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5, dua buah beg, satu unit pemotong, satu kuku kambing, satu unit plier, spanar dan wang tunai berjumlah RM168.

“Pengecaman terhadap barang-barang kes yang dirampas akan dilakukan mangsa untuk mengenal pasti dan pengesahan pemilikan.

“Hasil siasatan dibuat, suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah di taman itu dan siasatan lanjut akan dilakukan terhadap mereka sama ada turut terlibat dalam kes pecah rumah lain di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek masing-masing mempunyai 16 dan tiga rekod bersabit kes jenayah serta dadah.

Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kedua-dua suspek kini direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN