SEREMBAN: Sebanyak 84,240 dos vaksin Covid-19 akan diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi fasa pertama pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut melibatkan 42,120 penerima yang merupakan anggota ATM yang bertugas sebagai anggota barisan hadapan.
“Setiap penerima akan menerima dua dos vaksin, mereka ini yang terlibat sebagai barisan hadapan termasuk yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) bersama polis juga yang terlibat dengan Op Benteng.
“Jadual telah ditetapkan, bila dan sebagainya itu nanti akan dimaklumkan kepada pihak ATM,”katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Markas 1 Briged, Kem Sikamat, Seremban hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, ATM juga akan terlibat dalam keseluruhan rantaian pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan termasuk daripada aspek keselamatan.
“Kita akan mengiringi vaksin tersebut daripada mula ia sampai sehingga ke tempat penyimpanan dan kita juga akan membantu sewaktu suntikan dilaksanakan terutamanya yang melibatkan orang ramai kerana ia akan melibatkan kawasan yang luas seperti stadium, kita akan membantu daripada segi kawalan,” katanya lagi.
Dalam hal berkaitan, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa hospital-hospital tentera yang ada di negara ini juga bersedia untuk dijadikan sebagai pusat penyimpanan vaksin Covid-19 tersebut.
“Kita bersedia dan akan bincang dengan hospital angkatan tentera, kita juga banyak terlibat termasuk mewujudkan hospital medan seperti di Sabah, jadi kita bersedia untuk membantu kerajaan dalam apa juga keadaan,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau menjelaskan, lawatannya ke Markas 1 Briged tersebut adalah merupakan sebahagian daripada lawatan ke formasi-formasi Tentera Darat Malaysia.
“Dalam lawatan ini saya diberikan taklimat mengenai kesiapsagaan angkatan tentera yang berkain, selain mendengar cadangan dan keperluan di kem-kem termasuk berkaitan RKAT.
Di sini saya juga telah meluluskan pembinaan dewan serbaguna bernilai RM5 juta yang akan dibina sama ada tahun ini atau awal tahun hadapan dan turut sempat menziarahi empat buah rumah bagi menyantuni waris dan anggota yang menghidapi penyakit,” katanya. – UTUSAN ONLINE