81 kes berkaitan harga barang dikesan di Johor  - Utusan Malaysia

81 kes berkaitan harga barang dikesan di Johor 

DR. Chong Fat Full (dua dari kiri) melakukan tinjauan dan pemeriksaan ke sebuah pasar raya sempena program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di Kluang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengesan 81 kesalahan membabitkan nilai kompaun sebanyak RM10,400 dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, kes itu dikesan melalui program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina sejak 8 Februari hingga hari ini.

Katanya, dalam skim itu, KPDNHEP negeri telah melakukan 1,238 pemeriksaan meliputi 1,189 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 49 pemeriksaan di peringkat pemborong.

“Sebanyak 60 kes kesalahan dilakukan iaitu gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.

“Empat kes kesalahan lagi gagal mematuhi Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan.

“Sebanyak 17 kes kesalahan gagal mematuhi Perintah 2 (1) Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Barang Terkawal) 2021 kerana gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Fat Full berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan skim itu yang tertakluk di bawah akta berkenaan.

“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000. Manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Beliau berkata, pengguna di negeri Johor boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga sepanjang tempoh SHMMP dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada pihak kementerian melalui talian 03-8000 8000 atau pusat panggilan 1800 886 800.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi talian Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088 atau aduan WhatsApp KPDNHEP iaitu 019 -279 4317; atau  [email protected].

“Di samping itu mereka boleh membuat aduan di aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana-mana lapan pejabat KPDNHEP di seluruh negeri Johor,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN