729 jalani ujian saringan komuniti - Utusan Malaysia

729 jalani ujian saringan komuniti

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 729 individu melakukan ujian saringan Covid-19 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA), Seksyen 19 yang bermula pukul 9 pagi tadi.

Pengurus Operasi Klinik Selcare Sdn. Bhd., Mohd. Noor Md. Nasir berkata, pihaknya menjangkakan jumlah yang melakukan ujian saringan di kawasan Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Kampung Sijangkang, Pelabuhan Klang dekat sini esok akan mencatat peningkatan berdasarkan populasi penduduk.

Menurutnya, kesemua individu yang melakukan ujian saringan menggunakan Rapid Test Kit (RTK) Antigen dan keputusan diperoleh dalam tempoh 45 minit sahaja.

“Apabila keputusan ujian saringan positif, kita akan terus melakukan ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT- PCR) tanpa menunggu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) membuat susulan.

“Ini kerana kita tidak mahu membebankan PKD dengan lambakan pesakit Covid-19 untuk membuat ujian susulan.

“Untuk hari ini, kita melihat kesedaran masyarakat untuk melakukan ujian saringan pada tahap memuaskan dan kesemua mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Noor berkata, ujian komuniti Covid-19 tidak hanya memfokuskan kepada warganegara sahaja tetapi dibuka juga kepada warga asing.

Jelasnya, tindakan menyekat warga asing melakukan ujian saringan hanya mengakibatkan kesukaran mengesan individu positif.

“Warga asing ini duduk dalam komuniti kita dan sekiranya hanya warganegara sahaja lakukan saringan, potensi jangkitan tinggi.

“Oleh demikian, kita menggalakkan semua individu supaya hadir membuat ujian saringan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN