Malaysia mohon kerjasama Indonesia pastikan pekerja masuk saluran sah
Oleh: MAISARAH SHEIKH RAHIM (laupa)
[email protected]
PUTRAJAYA: Malaysia memohon kerjasama Indonesia untuk meningkatkan usaha dalam memastikan warganegara republik itu yang ingin datang bekerja di Malaysia memasuki negara melalui saluran yang sah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia turut mengalu-alukan tindakan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang telah memudah cara deportasi pekerja migran yang bekerja secara tidak sah di Malaysia.
“Saya telah memohon kepada Presiden supaya Perwakilan Indonesia di Malaysia dapat menguar-uarkan Program Rekalibrasi Pulang (PRP) dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (PRTK) yang sedang berlangsung sehingga 30 Jun ini,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar bersama dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta Pusat, hari ini.
Pertemuan itu sempena lawatan sulung Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 kerana mendapat jemputan khas daripada Joko Widodo atas dasar menghormati negara berkenaan sebagai rakan negara serumpun yang telah menjalin persahabatan akrab selama berpuluh tahun.
Menurut Muhyiddin, kerajaan Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan pengambilan dan perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) adalah berlandaskan undang-undang negara sedia ada.
Malaysia percaya bahawa dengan perbincangan berterusan, kedua-dua negara akan mencapai persefahaman dan persepakatan mengenai memorandum persefahaman (MoU) tentang pengambilan dan perlindungan PDI selaras dengan aspirasi undang-undang buruh negara masing-masing. – UTUSAN ONLINE
habis