13,000 bakul makanan diagih ganti Kenduri Rakyat sempena Hari Wilayah Persekutuan - Utusan Malaysia

13,000 bakul makanan diagih ganti Kenduri Rakyat sempena Hari Wilayah Persekutuan

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 13,000 bakul makanan yang bernilai RM750,000 diberikan dengan agihan meliputi 1,000 isi rumah di setiap kawasan Parlimen di tiga buah negeri Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia disumbangkan terus secara ‘one-off’ kepada golongan miskin bandar dan kelompok berpendapatan B40 pada hari ini.

“Ia kaedah baharu bagi menggantikan program Kenduri Rakyat yang lazim dibuat setiap kali sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bakul itu ujar beliau, berisi barangan keperluan asas diagihkan terus ke kediaman kumpulan sasar dengan mendapat kerjasama pihak Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.

Inisiatif itu selaras tema tahun ini, Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin dengan program dianjurkan bersifat keprihatinan kepada golongan susah yang terkesan akibat isu Covid-19.

Pada masa sama katanya, pelaksanaan program kali ini dibuat dengan pematuhan prosedur operasi standard ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam suasana norma baharu.

Turut diadakan ialah Kempen Kibar Bendera, Wilayah Persekutuan Bermunajat, Pameran Digital Wilayah Persekutuan, Khutbah Jumaat Khas, Virtual Bike and Run dan Virtual Musikal.

“Salah satu program baharu ialah Pencahayaan Wilayah Persekutuan dengan tujuan bagi menggalakkan pemilik bangunan menyalakan lampu pada waktu malam,” kata Annuar.

 Melalui cara ini ujarnya, semua penduduk bersama keluarga berada di rumah dalam suasana meriah dan ceria sambil mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang bulan ini.

Setiap warga jelas beliau, diseru meraikan sambutan secara kreatif dengan berkongsi gambar dan video melalui media sosial yang bertanda pagar WilayahPersekutuanWilayahPrihatin.

Beliau menambah, walaupun tiada acara di lapangan seperti tahun-tahun sebelumnya, ia bukan bermakna penduduk tidak boleh menghidupkan semangat sambutan secara bersama.

Bahkan katanya, menerusi program disusun pada kali ini, ia mencerminkan solidariti warga yang muhibbah, integrasi antara kaum dan berkasih sayang terhadap Wilayah Persekutuan.

“Diharapkan, aktiviti ini memberi manfaat besar dalam usaha kementerian memupuk dan membudayakan penghayatan sifat keprihatinan dan kecaknaan warga,” tegas Annuar.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN