ALOR SETAR: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memberi sumbangan sebanyak 50,000 pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.
Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin berkata, sumbangan tersebut diserahkan kepada Jabatan Pendidikan negeri untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah terlibat.
Menurutnya, pelitup muka tersebut diharapkan dapat meringankan beban pihak sekolah dalam menyediakan keperluan itu untuk kegunaan pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut.
“Sumbangan itu merupakan salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YPM untuk mengelakkan pelajar tidak dijangkiti Covid-19 sepanjang SPM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan pelitup muka kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidik Negeri Kedah, Ismail Othman di di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah di sini hari ini.
Menurutnya, sumbangan yang sama juga disalurkan oleh YPM kepada pelajar yang menduduki SPM di negeri Pahang.
Sementara itu Penolong Kanan (Pentadbiran), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, Rashidah Mohd. Khairudin berkata, sumbangan itu diharap dapat memberi semangat kepada 145 pelajar di sekolah itu yang bakal menduduki SPM.
“Selain itu sumbangan itu dapat meringankan pihak sekolah bagi membekalkan pelitup muka dan pencuci tangan kepada pelajar yang mengambil SPM,” jelasnya.