JOHOR BAHRU: Seramai 175 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS) antara 49,472 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 yang bermula hari ini.
Tinjauan yang dilakukan Utusan Malaysia di pekarangan sekolah itu mendapati, pelajar mula tiba seawal pukul 6.30 pagi dengan sebahagian daripada mereka dihantar oleh ibu bapa masing-masing, selain menaiki bas bagi mereka yang menetap di asrama.
Malah, guru-guru turut membantu membuat pemantauan rapi pergerakan pelajar agar mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pelajar juga dilihat berbaris dengan mengambil kira penjarakan fizikal selain bacaan suhu badan direkod sebelum dibenarkan memasuki pekarangan sekolah.
Pemantauan itu turut disertai Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibubapa, Komuniti dan Swasta (KPIKS) Johor, Datuk Yahya Jaafar.
Menurut beliau, pihaknya yakin peperiksaan itu akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah kerana persediaan rapi telah dibuat pihak berwajib.
“SOP sempena peperiksaan SPM ini sudah dikeluarkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan manakala pihak sekolah dan pelajar pun telah memahami peraturan ditetapkan.
“Kami berharap tidak akan ada kluster baharu membabitkan sekolah-sekolah sehingga menjejaskan peperiksaan yang berlangsung,” katanya.
Sebanyak 366 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini dengan 4,089 petugas peperiksaan juga telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM yang dijadual berlangsung sehingga 25 Mac ini. -UTUSAN