IPOH: Sebanyak 49 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Perak sudah bersedia melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama yang akan berlangsung sehingga April.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, antara lokasi PPV yang menjadi tumpuan di negeri ini adalah Stadium Indera Mulia di sini.
Katanya, lokasi itu menjadi tumpuan malah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan berangkat mencemar duli ke PPV Stadium Indera Mulia Selasa ini dan menunjukkan keprihatinan baginda dalam pelaksanaan program vaksinisasi tersebut.
“Jumlah vaksin yang jangka diterima negeri Perak pada fasa pertama ialah sebanyak 79,560 dos manakala jumlah petugas barisan hadapan yang akan menerima adalah seramai 33,503 orang yang turut membabitkan Menteri Besar serta Xxco kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fasa kedua bermula pada April sehingga Ogos melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi seperti warga emas.
Fasa ketiga pula meliputi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dan akan berlangsung dari Mei sehingga Februari 2022.
Untuk fasa ketiga, keutamaan vaksin diberikan kepada penduduk berusia 18 tahun ke atas untuk warganegara atau bukan warganegara mengikut zon iaitu merah diikuti kuning dan seterusnya hijau.
Mohd. Akmal berkata, untuk orang awam, kaedah pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera atau melalui laman sesawang www.vaksinCovid.gov.my dan fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.
Katanya, talian hotline pula akan dimaklumkan kemudian manakala program bantuan ‘outreach’ bagi kawasan luar bandar dan pedalaman juga antara kaedah yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan dalam melaksanakannya.
“Kerajaan Perak mengharapkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengikut fasa ini akan dapat membantu melandaikan pandemik Covid-19 sekali gus memutuskan rantaian penularan wabak.
“Selain itu, pengamalan budaya dan norma baharu juga perlu terus dipraktiskan oleh masyarakat,” katanya.