4,756 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 - Utusan Malaysia

4,756 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19

AKTA
NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan seramai 4,756 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 sekali gus menunjukkan berlakunya peningkatan yang mendadak ke atas barisan hadapan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, data dari beberapa petunjuk peningkatan kes yang dilaksanakan KKM adalah melihat berapa ramai petugas kesihatan yang dijangkiti wabak itu.

Katanya, setakat hari ini, daripada 4,756 petugas kesihatan, 3,101 adalah membabitkan petugas wanita manakala 1,655 adalah petugas lelaki..

“Kajian yang dibuat mendapati sebanyak 43 peratus jangkitan berlaku dari komuniti, bukannya di hospital malah, semalam sahaja, KKM menerima laporan sebanyak 85 kes jangkitan berlaku membabitkan petugas kesihatan.

“Baru-baru ini juga, berlakunya jangkitan di kalangan staf KKM di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu menjadikan jumlah kepada 93 kes maka di sinilah, kita melakukan pengesanan kontak rapat bagi memastikan tiada penularan wabak itu,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Libat Urus Darurat Covid-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Siri 2/2021 yang diadakan secara maya.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah tinggi jangkitan itu menunjukkan bahawa barisan hadapan mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti.

“Pengesanan kontak rapat segera juga mampu memastikan tiadanya penularan wabak yang membolehkan wujudnya kluster baharu,” katanya.

Disember tahun lalu, Dr. Noor Hisham mendedahkan seramai 1,880 petugas kesihatan dikesan dijangkiti Covid-19 selepas melalui saringan yang dilakukan susulan terdapat peningkatan kes dalam kalangan petugas kesihatan terutamanya di fasiliti kesihatan di dalam zon merah dan kawasan berisiko tinggi. 

Berdasarkan siasatan, katanya, majoriti punca jangkitan adalah jangkitan antara petugas kesihatan dan juga daripada komuniti dengan masing-masing merekodkan 33 peratus.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN