PUTRAJAYA: Hari pertama beberapa negeri dilanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 semalam menyaksikan kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) mulai naik.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 461 individu ditahan di seluruh negara berbanding cuma 443 individu diberkas kelmarin.
“Daripada jumlah itu, 430 dikompaun dan 31 direman dengan kesalahan tertinggi ialah merentas kawasan tanpa kebenaran sebanyak 135,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Diikuti tidak patuh jarak fizikal (128) gagal ada alat rekod butiran diri (72), tidak memakai pelitup muka (67), premis beroperasi lebih masa atau tanpa izin (17) dan lain-lain (42).
Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan 70,682 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,171 pasukan di seluruh negara.
Beliau menambah, 14,503 anggota semalam telah memantau sejumlah 6,146 restoran, 4,332 pasar raya, 3,827 bank, 2,719 penjaja, 1,830 kilang, dan 1,721 pejabat kerajaan.
Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan, turut dipantau ialah sebanyak 1,182 terminal pengangkutan darat, 268 terminal pengangkutan air dan 113 terminal pengangkutan udara.
Seramai 11 pendatang asing tanpa izin dan tiga tekong juga berjaya ditahan melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.
“Lapan kenderaan darat dirampas selain 119 bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara menerusi empat aktiviti penglihatan,” kata Ismail Sabri.
Op Benteng itu ujarnya, turut mengadakan 543 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 90 operasi sanitasi awam juga dilakukan semalam yang meliputi 32 zon merah, lapan zon jingga, 13 zon kuning dan 12 zon hijau.
Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 445 anggota bomba selain 200 anggota pihak berkuasa tempatan dan 22 dari pelbagai agensi dengan penggunaan 82 jentera bomba.
Menyentuh kuarantin wajib, seramai 896 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 126,612 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 76 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.
Seramai 644 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 119,413 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 492 peruncit, 151 pemborong dan 30 pengilang.
Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,405 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan tiga premis diberikan nasihat manakala hanya satu dikenakan kompaun.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut membuat pemeriksaan di 19 tapak binaan seluruh negara semalam dengan kesemua premis beroperasi didapati mematuhi SOP. – UTUSAN ONLINE