4,525 kes sembuh, 2,464 kes positif direkodkan - Utusan Malaysia

4,525 kes sembuh, 2,464 kes positif direkodkan

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia hari ini merekodkan kes sembuh Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 4,525 kes sekali gus mengatasi kes positif, 2,464 kes dengan tujuh kematian.

Jumlah terbabit menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 213,814 kes manakala 264,269 kes positif dengan kes aktif menurun kepada 49,490 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 260 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 111 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Selangor terus merekodkan jumlah kes tertinggi dengan melebihi 1,000 kes iaitu 1,189.

“Negeri lain pula merekodkan kes dua angka iaitu Kedah, 92 kes; Kelantan, 88 kes; Perak, 85 kes; Pulau Pinang, 56 kes; Terengganu, 51 kes; Negeri Sembilan, 40 kes; Melaka, 11 kes dan Pahang, 10 kes manakala Putrajaya, empat kes; Labuan, satu kes dan Perlis, sifar kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai 11 kluster baharu, Dr. Noor Hisham berkata, sembilan melibatkan kluster berkaitan tempat kerja manakala komuniti dan keagamaan, masing-masing satu kluster.

“Johor mencatatkan lima kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Istimewa Cemerlang di Johor Bahru, sebanyak 109 kes dari 311 individu serta Kluster Batu 57 di Batu Pahat, sebanyak 13 kes dari 91 individu dan Kluster Jalan Usaha Satu di Johor Bahru dan Pontian, 70 kes dari 299 individu.

“Dua lagi di Johor iaitu Kluster Jalan Tebrau Khas melibatkan Johor Bahru dan Kulai, sebanyak 29 kes dari 196 individu dan Kluster Jalan Persiaran Teknologi Kulai melibatkan Johor Bahru dan Kulai, sebanyak 45 kes dari 236 individu,” katanya.

Katanya, tiga di Selangor iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Setia di Petaling, sebanyak 36 kes dari 320 individu serta Kluster Jalan Jelatek di Gombak, sebanyak 35 kes dari 200 individu dan Kluster Jalan Sepuluh di Petaling, sebanyak 32 kes dari 250 individu.

“Kluster Ria Jaya di Kuala Muda, Kedah, seramai 567 individu telah disaring, di mana 81 kes dikesan positif.

“Bagi kluster komuniti, Kluster Patikang Ulu di Keningau, Sabah, seramai 185 individu telah disaring, di mana 37 kes dikesan positif manakala kluster keagamaan di Kluster Jalan Badak melibatkan Kinta dan Kuala Kangsar, Perak, sebanyak 57 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif,” katanya.

Bagi tujuh kematian, beliau berkata, empat lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dan tiga wanita berusia antara sembilan hingga 83 tahun.

” Semua pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, dislipidemia, kencing manis, buah pinggang kronik, gout, jantung, medulloblastoma, dan mata kronik, ” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN