45,000 penoreh getah terjejas pendapatan - Utusan Malaysia

45,000 penoreh getah terjejas pendapatan

Penggunaan getah beku tempatan sebagai campuran dalam pembuatan jalan raya akan membantu kenaikan harga getah sekali gus membolehkan penoreh menikmati pendapatan lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG: Lebih 45,000 penoreh getah di negeri ini terjejas pendapatan apabila hasil kutipan getah beku berkurangan antara 60 hingga 80 peratus akibat cuaca panas sejak awal Januari lalu.

Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob berkata, keadaan cuaca panas itu menyebabkan daun pokok getah luruh dan pengeluaran susu berkurangan.

Malah, menurutnya, jumlah pengeluaran susu akan terjejas lebih teruk ketika pokok getah mulai mengeluarkan pucuk baharu.

“Ketika daun pokok getah luruh, memang tidak sesuai untuk menoreh kerana pengeluaran susu berkurangan.

“Musim panas di negeri ini pada masa ini juga menyebabkan lebih banyak daun pokok getah akan luruh.

“Kebiasaannya, penoreh getah akan terjejas pendapatan dalam tempoh empat hingga lima bulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun, Taufik menambah, harga getah beku dijangka lebih meningkat pada musim kemarau berikutan jumlah pengeluaran berkurangan pada musim kemarau ini.

“Harga getah beku, pada masa ini dianggarkan antara RM2.80 hingga RM3 sekilogram (kg),” ujarnya.

Sementara itu, seorang penoreh getah, Hider Abdullah, 62, dari Kampung Barokhas di sini berkata, dia mempunyai kebun getah seluas kira-kira 1.5 hektar dan mempunyai sebanyak 700 pokok yang diusahakan sejak 13 tahun lalu.

Menurut Hider, kebiasaannya dia akan memperoleh hasil getah beku lebih 100 kg dalam tempoh seminggu.

Bagaimanapun, katanya, pada musim panas ini, dia hanya mendapat hasil getah beku kurang daripada 40 kg.

“Saya juga terpaksa mem­belanjakan sebanyak RM500 untuk membeli baja bagi memastikan pokok getah itu dapat mengeluar­kan pucuk baharu dengan cepat dan mengeluarkan susu yang banyak pada musim panas ini,” ujarnya.

Seorang ibu tunggal, Nurlia Ahmad, 45, dari Naka, di sini berkata, dia mempunyai kebun getah seluas 0.5 hektar dan akan terjejas pendapatan apabila pokok getah kurang mengeluarkan susu pada musim panas ini.

“Saya terpaksa menanam sayur di pekarangan rumah untuk dijual bagi menambah pendapatan berikutan kekurangan hasil jualan getah beku untuk menyara tiga anak berusia 13 hingga 18 tahun,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya