KOTA BHARU: Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental bertindak terjun ke dalam perigi namun berjaya diselamatkan selepas anggota bomba dan ahli keluarga memujuknya selama kira-kira 45 minit di Kampung Hutan Rebana, di sini semalam.
Dalam kejadian bermula kira-kira pukul 9 malam, mangsa yang berusia 43 tahun sebelum itu dikatakan mengamuk sebelum membakar diri sendiri sehingga sebahagian badannya melecur teruk.
Dia kemudiannya berlari keluar dan terjun ke dalam perigi sedalam tiga meter yang terletak di luar rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afhsam Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada keluarga mangsa pada pukul 9.31 malam.
Pegawai bersama enam anggota dari BBP Machang segera bergegas ke lokasi. Sebaik sahaj tiba, kita mendapati mangsa masih berada dalam perigi tersebut dan enggan memberi kerjasama untuk diselamatkan. Malah mangsa turut bertindak agresif.
“Namun selepas 45 minit, kita berjaya memujuk mangsa dengan bantuan ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pihak bomba kemudian menyerahkan mangsa kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut.- UTUSAN ONLINE