400 karton rokok seludup bernilai RM28,000 dirampas - Utusan Malaysia

400 karton rokok seludup bernilai RM28,000 dirampas

AZHAR Hashim menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas daripada seorang lelaki di IPD Kulim hari ini. UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 400 karton rokok disyaki tanpa cukai bernilai RM28,000 selepas menahan sebuah kereta di sebuah ladang kelapa sawit di Junjung dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 12.30 hari itu, lelaki yang berusia 24 tahun itu ditahan selepas tersesat jalan di kawasan ladang kelapa sawit tersebut.

Lelaki terbabit dipercayai tersesak melalui jalan tersebut ketika cuba mengelak daripada sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kulim,Superintenden Azhar Hashim berkata, anggota polis dari Balai Polis Junjung melakukan rondaan di ladang kelapa sawit itu telah tersempak dengan kereta jenis Perodua Alza berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika polis cuba mendekati kenderaan tersebut, lelaki terbabit cuba melarikan diri namun gagal kerana keadaan permukaan jalan tidak rata.

“Hasil pemeriksaan mendapati hanya seorang pemandu lelaki sahaja berada di dalam kereta tersebut.

“Pemeriksaan lanjut dalam kereta itu, polis telah menemukan lapan buah kotak yang mengandungi 400 karton rokok jenama John yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini tanpa cukai Kastam,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini hari ini.

Menurut Azhar, suspek bersama barang rampasan di bawa ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat terhadap suspek mendapati rokok tersebut dibawa dari selatan tanah air untuk tujuan dijual di sekitar kawasan utara.

“Suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” kata.

Tambahnya, lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari ini selepas tamat tahanan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya melakukan 10 rampasan rokok seludup yang bernilai RM150,000 pada tahun ini.

Jelasnya, pada tahun lalu pula sebanyak 20 rampasan rokok seludup dilakukan yang bernilai keseluruhan kira-kira RM5.5 juta.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN