PARIT: Polis menahan empat lelaki bersama 68 bungkusan ketum seberat 340 kilogram yang disimpan dalam sebuah lori dalam serbuan di sebuah premis dekat Sungai Durian, Jejawi, Kampung Gajah dekat sini semalam.
Serbuan pukul 10.40 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah selepas mendapat maklumat daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Baruddin Wariso berkata, siasatan yang dijalankan ke atas semua suspek rakyat tempatan berusia 22 hingga 28 tahun itu mendapati tiga daripada mereka adalah sekampung manakala seorang lagi yang bertindak sebagai pemandu lori berasal dari Batu Caves, Selangor.
“Kesemua lelaki terbabit mengakui menjalankan kegiatan memetik, membungkus dan mengedarkan daun ketum yang belum diproses untuk dipasarkan ke Lembah Klang.
“Siasatan awal dilakukan mendapati tiga lelaki bertindak sebagai tukang petik dan tukang bungkus manakala pemandu lori akan membawa muatan plastik hitam tersebut dengan disembunyikan bersama barangan lain dan berselindung atas kapasiti lori pengangkutan barang” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pemandu lori terbabit dikesan mempunyai enam jenayah lampau berkaitan narkotik dan satu rekod jenayah berkaitan rompak mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan manakala seorang daripada tiga yang ditahan mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah.
Baruddin berkata, suspek mengakui mengambil peluang mengedarkan daun ketum yang belum diproses di kawasan kampung sekitar dan memperoleh tempahan daripada pembeli di sekitar Lembah Klang.
Katanya, kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak hujung tahun lepas dan mereka memperolehi keuntungan dan upah sebanyak RM30 untuk setiap bungkusan.
“Difahamkan, kekerapan pembungkusan dan urusan pengedaran ini adalah sekitar sekali setiap minggu.
“Usaha mengesan rangkaian pembeli dan orang tengah berkaitan pengedaran daun ketum ini digerakkan dari terus menular masuk merekrut penduduk-penduduk kampung sekitar daerah ini dengan mengambil kesempatan memperoleh pendapatan segera terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan,” katanya.
Baruddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum 4 tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, kesemua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 10 Februari bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, orang ramai diseru supaya terus menyalurkan maklumat dalam membantu pihak polis daerah ini membanteras kegiatan yang mendorong dan menyumbang kepada keruntuhan nilai moral dan sosial masyarakat.- UTUSAN ONLINE