PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes positif baharu Covid-19 melebihi 3,000 iaitu 3,847 kes yang menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 238,721 kes.
Jumlah kes aktif pula sudah melebihi 50,000 kes iaitu 50,894 kes dan 12 kematian direkodkan.
Kes sembuh pula, direkodkan sebanyak 1,692 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 186,970 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 305 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), iaitu 139 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor terus menjadi negeri tunggal yang mencatatkan kes melebihi 1,000 kes iaitu 1,481 kes diikuti Johor, 585 kes; Kuala Lumpur, 402 kes; Melaka, 329 kes; Sabah, 233 kes; Pulau Pinang, 211 kes; Negeri Sembilan, 133 kes dan Sarawak, 185 kes.
“Negeri lain hanya merekodkan kes dua angka kecuali Labuan, Putrajaya, lapan kes dan Perlis, empat kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE